Salam.. Dah lama tak update blog.. Busy la katakan.. huhu.. 2,3 minggu ni kerja menimbun gak la.. rasa macam stress pun ade.. huhu.. Biasalah tu, dah dipertanggungjawabkan untuk buat kerja yang bos suruh.. Blur gak nak tulis kadang.. Ni hari ni taktau ape pasal.. Macam terkejar-kejar je.. kejap kat damansara, pastu kena pegi client ofis kat Putrajaya.
Semuanya urgent, sampai lupa nak makan.. Singgah drive-thru Mc Donald kat Tol Sungai Besi, beli hotcakes set siap dgn hash brown.. (tapi bole tak org Mc Donald tu, lupa nk letak hash brown kat dlm plastik tu.. aku pulak tak perasan, terus jalan je)..
Tadi pun masa kat tengah jalan, tempat park tu, air sirap yang aku tapau bole pulak terjatuh.. Tak sempat diselamatkan.. Ni gara-gara sindrom tangan ketar-ketar.. Tah ape2.. Sindrom ni macam dah lama terjadi.. Kalo tersangat lapar atau stress je mula la rasa semua serba tak kena.. jantung pun berdebar-debar je.. huhu..
Pastu search kat uncle google, keyword "tangan ketar".. dapat la result camni.. dari website seorang doktor namanya Dr Danial.. eh, ade seorang ofismate aku namanya Daniel gak.. tapi chinese la.. bole tahan la muka dia.. menjadi sebutan ramai.. hahahaha.. sabar je la.. Oklah.. dah membebel tak tentu pasal.. baik g buat kerja.. nanti bos marah pulak.
Apa Itu Stress?
Dr. Hans
Selye, pengasas kepada teori stress atau tekanan perasaan telah
mendefinisikannya sebagai “suatu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang
disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya.” (Dr. David B. Posen (Lifestyle
Counselor and Psychotherapist) ; Stress) ‘Bebanan’ ini boleh wujud di dalam
bentuk ancaman, cabaran ataupun apa-apa perubahan di dalam hidup seseorang yang
memerlukan pengubahsuaian yang selari dengannya. Ada tekanan perasaan yang baik
lagi positif dan ianya dinamakan sebagai “eustress” dan ada pula yang buruk lagi
negatif dan ia dinamakan sebagai “distress.” Tekanan yang positif amat kita
perlukan di dalam hidup kita untuk menjadikan kita lebih berhati-hati,
terangsang, kreatif dan lebih memberikan tumpuan dan perhatian kepada apa yang
sedang kita lakukan. Sebenarnya banyak penemuan dan ciptaan oleh saintis-saintis
telah berlaku di saat mereka tertekan dengan masalah-masalah tertentu.
Contohnya, ketika Alexander Graham Bell sedang berusaha untuk membantu
tunangnya, Mable Hubbard, yang telah hilang pendengarannya, beliau telah berjaya
mencipta telefon yang telah meledakkan sistem telekomunikasi pada hari ini.
(Stephen C. Phillips, The Ten Laws
Of Success)
Apakah Yang Berlaku Ketika Stress?
Ketika stress, badan kita akan mengeluarkan satu hormon
rangsangan yang bernama ‘adrenaline’ kedalam saluran darah kita. Hormon ini
bersama-sama dengan beberapa hormon yang lain akan menyebabkan beberapa
perubahan berlaku di dalam tubuh kita sebagai persiapan untuk melindungi kita.
Di antara perubahan-perubahan itu ialah denyutan jantung bertambah laju dan
tekanan darah akan meningkat (untuk mengepam lebihan darah kepada otak, otot dan
jantung); gula, lemak dan kolesterol di dalam darah akan bertambah (untuk
memberi lebihan tenaga kepada badan); pernafasan seseorang akan lebih laju
(untuk menyalurkan lebihan oksigen yang diperlukan) dan begitulah seterusnya.
Perubahan-perubahan ini berlaku secara tabii selari dengan keperluan tubuh kita
ketika itu. Walaubagaimanapun, jika stress atau tekanan berpanjangan di dalam
hidup kita dan kita pula tidak bijak untuk mengurusnya, ia akan bertukar menjadi
‘distress’ yang boleh menyebabkan penyakit-penyakit tertentu menimpa
kita.
Apakah Tanda-Tanda / Gejala Umum
Stress ?
Manifestasinya adalah berbagai-bagai dan ia boleh
dikategorikan kepada empat bahagian :
Fizikal : Keletihan, pening kepala, susah tidur,
sakit-sakit badan terutamanya di kawasan bahu dan belakang, degupan jantung yang
kuat, sakit dada, meloya, ketar badan, sejuk tangan dan berpeluh.
Mental : Hilang tumpuan, mudah lupa, susah untuk membuat
keputusan, tidak boleh berfikir, celaru pemikiran dan tidak boleh berjenaka.
Emosi : Risau, sentiasa bimbang, sugul, marah, mudah
kecewa, sentiasa takut, sensitif, mudah hilang sabar dan panas baran.
Perangai : Keluh-kesah, lahir tabiat seperti menggigit kuku
dan menggedik-gedikkan kaki, makan yang berlebihan, merokok, minum arak,
menjerit-jerit, maki hamun, mengungkit-ungkit dan menyalahkan orang lain serta
bertindak agresif.
Masalah Kesihatan Dan Penyakit-penyakit Yang Berpunca Dari
Stress
Sakit jantung dan angin ahmar
(stroke). Stress akan menambahkan asid lemak (fatty acids) di dalam darah
dan bahan-bahan ini akhirnya akan bertukar menjadi lemak asli dan kolesterol
yang akan menutupi saluran pembuluh darah. Stress juga akan meninggikan tekanan
darah di samping memudahkan proses pembekuan darah. Semua ini merupakan
perubahan-perubahan yang boleh menyebabkan serangan sakit jantung dan angin
ahmar berlaku. (Health Education Associates, 1996; Stress and Heart
Disease)
Insomnia atau susah tidur. Stress boleh menyebabkan masalah susah tidur dan susah tidur
boleh menyebabkan stress, satu pusingan yang amat membinasakan. Di Amerika saja,
jumlah mereka yang diserangi masalah ini menghampiri jumlah 36 hingga ke-62 juta
orang. (Jeff Davidson, 1977; The Complete Idiot’s Guide To Managing
Stress)
Kencing manis. Kesugulan dan
tekanan hasil dari stress akan menambahkan kadar gula di dalam darah dan ini
boleh membawa kepada penyakit kencing manis atau menerukkan keadaan pesakit yang
telahpun mengidapnya. (Carol E. Watkins; Northern County Psychiatric Associates;
1998)
Gastrik dan ulser.
Penyakit-penyakit pada sistem penghadaman seperti gastrik dan ulser juga mudah
berlaku keatas seorang yang mengidap stress disebabkan oleh peningkatan
pengeluaran asid ketika diserangi stress, terutamanya, jika ia menyebabkan
kemurungan dan kemarahan yang bersangatan. (Ballieux, R.E., 1984; Breakdown in
human adaptation to stress)
Infeksi atau jangkitan kuman.
Tekanan atau stress juga akan menyebabkan pengeluaran bahan-bahan
‘catecholamines’ seperti ‘epinephrine’ dan ‘norepinephrine’ ke dalam darah.
Bahan-bahan ini berperanan melemahkan sistem pertahanan badan dan ini sekaligus
akan memudahkan kuman-kuman untuk menyerang dan menyebabkan penyakit-penyakit.
(Stress and the Immune System by Hannah Koenker, 1994) Kajian juga telah
menunjukkan bahawa keadaan stress akan meningkatkan peratus kemungkinan
seseorang itu dijangkiti kuman di sekitar 74 ke-90% dan dijangkiti virus selsema
di sekitar 27 ke-47%. Stress juga akan memudahkan virus yang tidak aktif menjadi
aktif semula. (Brosschot, J.F., Benschop, R.J., Godaert, G.L.R., Olff, M., De
Smet, M., Heijnen, C.J., Ballieux, R.E., 1994; Influence of life stress on
immunological reactivity to mild psychological stress: Psychosomatic
Medicine)
Asthma. Ketika menghadapi stress,
pesakit yang mengidap lelah akan mudah diserangi oleh penyakit ini disebabkan
oleh sistem pertahanan badan yang menurun ketika itu, yang akan memudahkan
reaksi-reaksi tertentu berlaku di dalam darah yang akhirnya menyebabkan lelah.
(Elliott G.R., Eisdorfer C., 1982; Stress and Human Health)
Di samping itu, kajian telah menunjukkan bahawa stress juga
adalah penyebab kepada beberapa penyakit yang lain seperti darah tinggi, sakit
sendi (rheumatoid athritis), cirit-birit dan sakit usus (irritable bowel
syndrome and ulcerative colitis), mandul dan alahan kulit. (Dr. Maria A. Smith,
UTC School of Nursing; Advanced Pathophysiology: Stress & Disease, Chapter
9)
Allah berfirman:
"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan
sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan
berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Yaitu) orang-orang
yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: 'Sesungguhnya kami adalah
milik Allah dan kepada-Nya-lah kami kembali.' Mereka itulah yang mendapat
keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah
orang-orang yang mendapat petunjuk." (Al-Baqarah 2:155-157)
|